29 Ogos 2014
Catatan: Mohd Asri Redha
Teratak Kasih
Selamat Malam.. Salam Sejahtera buat sahabat-sahabat saya dan saudara2 yang amat dimuliakan Allah SWT. Semoga kehidupan kita semua sentiasa diberi kesejahteraan oleh Allah SWT ..Insya Allah. Saya mengambil masa untuk menulis di blog Semangat Jati MBAS hari ini kerana ada sebab tertentu.. Saya ada blog dan facebook. Twitter saya tak begitu berminat. Tujuan utama saya ujudkan blog dan FB ini adalah bagi mengumpulkan sahabat2, mengeratkan tali silaturrahim sesama kita melalui maya, merakamkan pengalaman2, memberi panduan-panduan yang yang berminat, menaikkan imej organisasi kita dan pahala juga dengan menceritakan pengalaman bermakna hidup sebagai hamba Nya diatas muka bumi ini serta menceritakan kebesaran Allah SWT. Kita cerita yang baik-baik belaka. Tak kuasa untuk cerita mengata orang itu orang ini, yang belum tentu sahihnya, memaki hamun yang tidak berperasaan dan segala macam seumpama itu.
Hari ini merupakan hari terakhir saya bertugas sebagai Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar. Jadi saya kena tulis juga mungkin sebagai catatan terakhir saya diblog ini sepanjang saya berada di MBAS ini bermula dari 01 Ogos 2012 hingga 09 Ogos 2014. Kiranya 2 tahun 9 hari saya berkhidmat dengan MBAS. Satu jangka masa yang saya rasa agak singkat untuk berbuat sesuatu yang memberi kesan positif kepada MBAS. Saya tak ada idea lagi nih nak cerita apa.. tapi biarlah sambil-sambil tangan mengetok punat-punat biarlah aliran idea menerjah mai ke otak saya untuk saya susunnya menjadi ayat-ayat yang boleh difahami oleh sahabat-sahabat yg masih berminat nak baca. Bukan paksaan untuk suruh membaca..
|
Majlis penyerahan tugas kepada Setiausaha
Baru Tn Hj Abdullah Hashim dengan di
saksikan oleh Dato' Hj Mat Noh Ahmad
Datuk Bandar MBAS |
Besok saya akan mula bertugas di pusat pentadbiran kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darulaman, Alor Setar sebagai Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Kedah. Dengar macam besar semacam saja, tapi sebenarnya taraf jawatan tu sama saja dengan gred jawatan yang terdahulu.. Jadi bukanlah saya bertukar kerana naik pangkat. Hanya bertukar jawatan bagi meningkatkan lagi pengalaman dalam pengurusan kewangan. Saya bukannya seorang yang ada asas ilmu kewangan yang rasmi, jadi terpaksalah saya belajar dari rakan-rakan yang lebih berpengetahuan.
Sebenarnya saya agak terkejut juga bila mendapat arahan bertukar ke tempat tersebut, memang tidak dijangkakan. Hasrat hati tu nak juga rasa jadi DO atau YDP PBT kecik2 pun tak apa... sekurang-kurangnya pengalaman saya yang bergelumang dengan orang awam diperingkat bawahan boleh dipraktikkan selanjutnya apatah lagi sebagai Ketua Jabatan akan lebih memudahkan saya untuk rancang dan buat apa yang patut. Sebahagian besar tugas dan kerja saya adalah diperingkat 'grass root' bersama rakyat. Dah lali dengan orang kampong, orang bandar dengan segala macam karenah yang tidak berkesudahan. Sebahagian besar kerja saya adalah dengan Pejabat Tanah sebagai Pentadbir Tanah, Penolong Pentadbir Tanah, Pen Pengarah Tanah dan Galian. Begitu juga dengan Pejabat Daerah sebagai Penolong Pegawai Daerah, Ketua Penolong Pegawai Daerah , dengan PBT sebagai Setiausaha di Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya.. Disamping itu saya juga menjadi Ahli Majlis dibeberapa PBT. Jadi kehendak hati macam itu lah. Tapi saya bukan jenis yang pandai meminta-minta, jadi ke mana diarahkan, saya terima seadanya. Kalau saya mampu dan serasi kerja itu itu Alhamdulillah. Kalau tidak mampu dan tidak sesuai, terpulanglah pada yang lebih tinggi untuk letak dimana pula.
Berkhidmat dengan Majlis Bandaraya Alor Setar banyak meninggalkan kenangan-kenangan pada saya. Ada kenangan yang manis dan indah, ada juga yang tidak menarik dan ada juga yang rasa macam nak lari saja dari duduk di MBAS... Jadi segalanya ada disini. Tapi sebahagian besarnya adalah kenangan yang baik-baik belaka. Jadi kita cerita yang baik-baik belaka. Sebenarnya beberapa pandangan saya dan ulasan saya berkaitan aktiviti MBAS ini banyak telah saya buat ulasan dalam blog ini. Jadi tulisan blog saya kali ini hanya hendak memberi gambaran keseluruhan sahaja tentang MBAS ini.
Seperti yang saya katakan sebelum ini 2 tahun adalah waktu yang amat singkat saya rasa. Apalah sangat yang boleh dibuat dalam tempoh tersebut selain meneruskan segala program dan aktiviti yang sedang berjalan dan merancang yang belum dilaksanakan.. Dalam organisasi ini walaupun saya sebagai Pentadbir tapi masih ada lagi pegawai yang lebih berkuasa iaitu Datuk Bandar. Jadi apa yang dirancang dan dilaksana mestilah selari dengan dasar dan arahan-arahan DB. Saya merasa amat bertuah kerana dapat digandingkan dengan Dato Hj Mat Noh Ahmad seorang Datuk Bandar yang proaktif, kreatif dan serious dalam memandu orgasisasi MBAS mengikut landasan-landasan yang betul. Setiap tindakan-tindakan yang dibuat oleh anak-anak buah termasuk saya jika timbul kontroversi dan isu , beliau akan sentiasa mempertahankan tindakan-tindakan yang dibuat dan sanggup menghadapi risiko darinya. Beliau memberi kebebasan pada saya untuk merancang dan melaksanakan apa yang wajar mengikut garis panduan tugas sebagai seorang Setiausaha. Melaksanakan arahan-arahan beliau dan keputusan-keputusan dalam mesyuarat2 majlis dengan cepat dan memantau arahan tersebut agar berjalan lancar adalah merupakan satu tanggungjawab utama saya.
Hasilnya memang menakjubkan dalam tempoh 2 tahun ini.. MBAS sudah berjaya meletakkan dirinya sama setaraf dengan lain2 PBT di peringkat nasional dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang amat menakjubkan saya. Saya mengatakan begitu kerana seperti semua sedia maklum, MBAS bergerak dibawah kapasitinya yang sebenarnya, dengan pendapatan yang tidak sebanyak mana berbanding dengan lain-lain PBT bertaraf bandaraya dan sumber manusia yang terhad tetapi masih mampu bergerak seiring dengan lain-lain bandaraya yang lebih besar dan mencapai pelbagai anugerah. Dengan adanya Pelan Strategik MBAS 2014 - 2018 yang telah disediakan akan memandu meningkatkan lagi operasi MBAS dengan lebih tersusun dan teratur kearah mencapai matlamat yang telah ditetapkan
http://semangatjatimbas.blogspot.com/2014/03/makmal-pelan-strategik-mbas-2014-208.html
Dalam tempoh ini juga MBAS telah mendapat pelbagai kejayaan dan pengiktirafan baik diperingkat negeri, nasional dan antarabangsa.
Adakah pencapaian-pencapaian ini tercapai dengan sendiri. Tentunya tidak. Sudah tentu gabungan semua aset yang ada di MBAS ini telah menyerlahkan kecemerlangan ini. Baik dari peringkat pengurusan atasan , ketua jabatan, ketua bahagian, ketua unit dan seluruh anggota kerja MBAS semuanya ada peranan masing-masing kearah kecemerlangan yang dicapai. Sudah tentu untuk memastikan pelayaran MBAS menuju destinasi yang ditetapkan memerlukan nakhoda yang cekap . Nakhoda MBAS ialah Datuk Bandar .
Saya mengucapkan tahniah kepada semua anggota kerja MBAS yang bertungkus lumus menjayakan setiap program kualiti yang diaturkan itu. Tanpa kerjasama semua pihak tentunya sukar untuk mencapai kejayaan-kejayaan tersebut. Kita sedia maklum, MBAS mempunyai anggota tenaga yang ramai hampir 800 orang dan mempunyai 7 Jabatan merangkumi 30 Bahagian. Untuk mendapat pengiktirafan memerlukan keseluruhan jabatan dan bahagian sentiasa dalam keadaan 'tip top' terhadap setiap keperluan-keperluan penilaian.
Jadi kejayaan yang diperolehi itu bukan mudah, masih banyak lagi jabatan-jabatan diluar sana yang belum mendapat pengiktirafan 'Standard Requirements Of Quality Environment Management System 5S' walaupun jabatan itu tidak sebesar manapun, tetapi MBAS telah dapat kekal 2 tahun berturut-turut sijil tersebut malahan markahnya semakin meningkat. Begitu juga kejayaan mendapat Sijil 'Information Security Management Systems MS ISO / IEC 27001:2007' juga merupakan satu kejayaan luar biasa bagi saya. Berapa jabatan saja yang dapat sijil ini di Malaysia. Sebab untuk mendapatkannya memang sukar kerana banyak 'requirement' yang perlu dipatuhi agak terlalu teknikal.. Ini ditambah lagi dengan pengiktirafan Anugerah 4 Bintang bagi Penarafan Bintang Jabatan. Seterusnya diserlahkan lagi dengan kecekapan menguruskan kewangan MBAS dengan mendapat Sijil Bersih 2 tahun berturut-turut dan Insya Allah pada tahun 2014 juga tidak ada masalah untuk mengekalkanya. Dalam bidang kewangan juga MBAS mendapat anugerah 4 bintang untuk Indeks Akauntabiliti Kewangann. Imej MBAS makin meningkat dengan paparan Web Site MBAS yang telah diberi taraf 5 Bintang. Ini membuktikan segalanya memang telah berbetulan secara keseluruhan kerana semua anggota MBAS berusaha kearah itu.. Sewajarnya seluruh anggota MBAS wajar berbangga dengan pencapaian-pencapaian tersebut.
http://semangatjatimbas.blogspot.com/2014/01/tahniah-mbas-tetap-unggul-pelbagai.html
Kecemerlangan MBAS dibuktikan lagi dengan penerimaan anugerah diperingkat antarabangsa.Pada 25.06.2013, MBAS telah dianugerahkan 'The Best Municipality' dan 'The Best Municipality Manager' oleh Europe Business Assembly' sebuah organisasi antarabangsa yang berpusat di Oxford, England. Seterusnya satu lagi pengiktirafan antarabangsa diperolehi oleh MBAS iaitu pada 02 Jun 2014 MBAS menerima penganugerahan 'European Awards For Best Practices 2014' di Brussels Belgium dari European Society For Quality Research (ESQR) sebuah organisasi penarafan kualiti bertaraf antarabangsa yang berpusat di Lausanne Switzerland. Jadi rasanya hampir lengkap siri-siri pengiktirafan yang diterima oleh MBAS baik diperingkat negeri, peringkat nasional dan peringkat antarabangsa.
http://semangatjatimbas.blogspot.com/2013/06/swiss-summit-of-leaders-mbas-adalah.html
http://semangatjatimbas.blogspot.com/2014/06/the-european-awards-for-best-practices.html
Cumanya satu lagi pengiktirafan besar yang cuba diperolehi MBAS ialah untuk mendapatkan semula Sijil Qualiti MS ISO Versi Baru yang mana sebelum ini MBAS telahpun menerimanya beberapa tahun yang lalu. Tetapi oleh kerana beberapa masalah dan halangan sijil yg diperolehi itu gagal diperbaharui semula. Pada waktu itu boleh dikatakan hampir semua proses kerja utama bahagian yang terdapat dalam MBAS menerima sijil tersebut. Ini merupakan satu cabaran besar yang akan dihadapi oleh semua anggota MBAS disemua peringkat. Arahan pengurusan atasan telah dikeluarkan kearah persediaan mendapatkan sijil tersebut.
Ada dua perkara yang saya rasa agak terkilan selepas meninggalkan MBAS yang masih gagal untuk mencapainya secara berkesan. Pertamanya kerana terasa kurang membantu dalam meningatkan hasil pendapatan MBAS. Walaupun ada peningkatan sejumlah lebih RM 2 juta simpanan dalam tempoh 2 tahun saya bertugas di MBAS ini tapi harus diingat kos pengurusan MBAS juga semakin bertambah setiap tahun. Jadi dalam apa cara sekalipun , semua anggota MBAS kena memikirkan secara lebih kreatif, proaktif dan berkesan dalam mencari sumber-sumber baru atau berusaha mempertingkatkan kutipan cukai-cukai bagi premis perusahaan, perniagaan dan perumahan yang belum dinilai lagi. Mencari sumber2 baru seperti mana yang diputuskan dalam Deklarasi Krabi perlu diberi perhatian . Jika tidak jangka hayat MBAS tidak akan bertahan lama . Setiap anggota mesti memikirkan cara terbaik untuk meningkatkan hasil majlis. Perkara ini kena ditanamkan dalam setiap hati sanubari anggota. Tidak ada masa untuk menyatakan itu bukan tugas orang itu atau orang ini..
http://semangatjatimbas.blogspot.com/2013/04/deklarasi-hasil-mbas-di-krabi-pada.html
Perkara ke dua ialah saya masih berusaha bersama Datuk Bandar untuk mengurangkan pembaziran-pembaziran dalam pengurusan MBAS. Mengurangkan pembaziran itu adalah seperti memastikan penggunaan air paip tidak digunakan sewenang2nya, penggunaan elektrik yang bertambah setiap tahun, kalau boleh dikurangkan lagi dengan penggunaan tenaga yang lebih efisien, penggunaan tenaga sumber manusia yang ada secara maksimum dan penggunaan asset-asset fizikal secara yang lebih berhemah. Saya berharap kedua-dua perkara ini dapat diberi perhatian utama oleh semua anggota terutama Ketua Jabatan dan Ketua Bahagian yang akan menggerakkan jentera organisasi masing-masing kearah menambahkan pendapatan dan memaksimakan segala asset sumber manusia dan fizikal yang ada.
Saya juga amat terhutang budi kepada MBAS terutama Datuk Bandar yang telah memberikan kesempatan kepada saya menghadiri Persidangan Antarabangsa di Yeosu , Korea Selatan (The 8th Silk Road Mayors Forum Yeosu 2013 dari 21-24 Okt. 2013) dan juga menghadiri Kursus Trizz (Triz Future Conference 2013, dari 29-31 Oct 2013)) di Paris, Perancis. Disamping itu saya juga mewakili Datuk Bandar untuk menerima Anugerah 'European Awards For Best Practices 2014' di Brussels Belgium . Saya amat menghargai akan peluang yang jarang-jarang diperolehi ini. Semua ini meningkatkan lagi pengalaman dan mematangkan lagi pengetahuan saya. Terima kasih saya ucapkan. Jasa MBAS terhadap saya tidak akan dilupakan.
http://semangatjati.blogspot.com/2013/11/triz-future-conference-2013-darts-et.html
http://semangatjati.blogspot.com/2013/11/8th-mayor-silk-road-forum-yeosu-2013.html
Ok.. lah banyak pula bercerita fasal kerja dan pengiktirafan.. nanti boring pula yang membacanya.. tak apalah saya cerita yang baik-baik belaka., lagipun saya dah tak kerja lagi kat MBAS, apa salahnya kalau kita cerita yg baik2 pada organisasi yang kita tinggalkan... biar kita keluar dengan bangga akan organisasi yang pernah kita terajui dan kita tinggalkan pula dalam keadaan elok-elok serta tidak tinggalkan masalah pada MBAS...
Saya sedar semasa mula datang ke MBAS ini ramai yang telah berpandangan atau berfikir saya ini seorang yang strict, jarang senyum, nampak macam garang, berbicara tanpa pandang ke muka dan segala macam lagilah yang tidak perlu saya sebutkan. Tak apalah itu persepsi sahaja berasaskan apa yang dilihat dari luaran sahaja. Mungkin ada benar dan mungkin ada yang tidak benar. Jadi saya tidak begitu melayan sangat hal-hal seperti itu. Saya datang dengan satu tekad untuk bekerja dan menerima tanggungjawab yang diarahkan. Bekerja untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan niat menjadikan kerja harian saya sebagai Ibadat... Saya tahu terlalu banyak cabaran dan godaan bertugas di PBT.. Silap-silap haribulan boleh hanyut dibuatnya. Pengalaman sebagai Setiausaha dibeberapa PBT sebelum ini benar-benar mengajar saya. Ramai yang berminat untuk bertugas di PBT apatah seperti di MBAS ini. Di sini ada kuasa, disini ada peluang dan disini ada kesempatan, Pandai-pandailah menggunakannya.
Saya amat senang sekali bersama-sama anak-anak buah di MBAS, seronok bekerja dengan mereka. Cumanya tidak ramai yang saya dapat bertemu muka dan kenal secara mendalam, kerana ramainya anggota MBAS ini. Saya suka ikut serta akan setiap program dan aktiviti yang dibuat. Cuma selalu tidak dapat join kerana terikat dengan tugas-tugas yang sentiasa memburu kita... di MBAS ini memang banyak sekali aktiviti rasmi dan mesyuarat-mesyuarat dalaman dan diluar. Nasib baiklah sebahagian besar ketua jabatan dan ketua bahagian tidak ada masalah dalam mewakili DB atau Setiausaha. Jadi segalanya berjalan lancar seperti biasa dan saya hanya memantau pelaksanaannya sahaja agar berjalan lancar.
Saya memang kagum dengan pengurusan acara program aktiviti yang dilaksakan sendiri oleh anak2 buah MBAS. Memang ada 'class' kata orang. Sebab itu dalam sebarang pengurusan acara/aktiviti yang diaturkan, saya dan DB tidak banyak sangat ambil tahu kerana kami tahu acara yang diaturkan itu memang akan berjalan elok dan sempurna dan kadang-kadang melebihi dari yang dijangkakan.. Tahniah saya ucapkan.
Sekali sekala ada juga pertentangan pandangan dan pendapat dengan anak-anak buah. Bagi saya tidak ada masalah untuk menerima teguran dan pandangan dari anak-anak buah. Cuma sebagai anak buah kita kena faham hirarki dalam sesuatu organisasi. Ada cara dan pendekatan yang manis dan berhemah boleh dibuat. Apa yang boss buat adalah untuk kebaikan organisasi. Teguran dan pandangan yang diberi untuk kebaikan pegawai yang terlibat . Kadang apa yang dibuat dan diarah oleh boss tidak menepati kehendak dan cita rasa kita, kadang2 kita rasa boss seperti mencari kesalahan kita dan macam-macam perkara negatif yang kita fikirkan. Sekiranya tidak memberi kesan negatif dan melanggari batas agama terima seadanya apa yang diarahkan. Ketua melihat dalam konteks yang lebih luas , manakala anak buah melihat dalam konteks yang lebih kecil... Oleh itu setiap tindakan dan arahan selalunya mengambil kira pelbagai aspek dan pertimbangan munasabah. Ketua yang baik tidak akan membuat sesuatu yang akan menjahanamkan organisasinya. Kalau ini dibuat, tanggungjawab anggota MBAS terutama pimpinan pegawai kanan yang mesti membetulkan keadaan.
Saya sendiri ada boss saya iaitu Datuk Bandar. Mengapa saya harus mempertikaikan keputusan-keputusan Datuk Bandar jika ianya memberi kebaikan , tidak memberi kesan negatif dan merugikan MBAS serta tidak bercanggah dengan agama. Pendapat dan pandangan dalam hal-hal tertentu kadang-kadang berbeda. Sebagai manusia perkara itu tidak dapat dielakkan. Namun pandangan sentiasa saya berikan dalam hal-hal tertentu, tapi keputusan terakhirnya terletak kepada Ketua kita. Sebab beliau akan bertanggungjawab akan setiap keputusan yang dibuat. Nanti kalau saya jadi ketua organisasi, begitulah juga yang saya mahukan. Saya sentiasa memegang prinsip ini dan sebab itu saya boleh berkhidmat dengan baik dengan semua bos-bos saya yang terdahulu, tidak ada masalah langsung. Apa yang penting kita mesti menanamkan kepercayaan boss kepada kita. Jangan membuat sesuatu yang membuatkan ketua kita hilang kepercayaan kepada kita. Jika bos hilang kepercayaan dan tak boleh harap kepada kita , maka susahlah nak buat kerja. Jadi laksanakanlah sebaik mungkin akan arahan-arahan ketua jabatan terutama bagi cepat, tepat, kreatif dan ada maklumbalas tindakan yang dibuat .
Satu lagi yang saya hendak peringatkan ialah jangan dok mengata ketua jabatan kita dibelakang atau dalam media sosial sesama rakan-rakan kita dan sebagainya kerana semua itu lambat launnya ia akan tersebar juga. Sayapun ada juga terima kata-kata sinis atau kata kata perli akan beberapa tindakan dan arahan yang saya buat . Tapi perkara itu tidak diluahkan kepada saya. Hanya disembang2kan sesama rakan2 tapi pada akhirnya akan tersebar juga. Bayangkan kalau kita sebagai ketua dan anak buah kata-kata sebegitu, macam mana..... Saya ni kira masih boleh terima lagi orang nak kata apa pun, kerana saya meletakkan anggapan mungkin semua itu kerana ada juga kelemahan saya... orang lain mungkin tak boleh terima sepertimana saya terima... jadi berhati2lah. Cakap siang pandang2 cakap malam dengar..
Ramai juga anggota-anggota MBAS peringkat bawah yang saya kenal dan ingat nama mereka. Itupun kerana mereka kerap datang juga ke bilik saya dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti bersama-sama saya saperti berbasikal , kelab , dan juga melalui FB yang ramai juga menjadi sahabat saya.. Jadi persahabatan ini boleh diteruskan melalui FB. dan juga melalui blog saya. Dari situ saya boleh mengetahui perkembangan-perkembangan yang berlaku di MBAS. Saya pasti bersama MBAS dalam apa situasi walaupun tidak lagi berada di MBAS.
Saya pasti merindui akan semuanya itu semasa berada di MBAS walaupun hanya 2 tahun. Segala2nya menarik bagi dgn segala macam aktiviti yg pelbagai bentuk dan ragam. Sibok sepanjang masa dengan satu demi satu peristiwa silih berganti. Tak mungkin suasana spt ini akan diperolehi dijabatan lain. Saya mendapat ramai sahabat2 baru terutama ahli2 majlis, ketua2 jabatan , ketua2 bahagian dan juga ketua2 unit di MBAS selain lain-lain anak-anak buah yang selalu datang berjumpa bertanya khabar, berbual-bual, melawak pun ada. Ada yang seperti kakak atau abang, ada yang boleh dianggap sebagai adik atau ada yang boleh dianggap anak . Sebelum ini saya hanya melihat begitu sahaja tanpa mengenali mereka tapi bila dah kenali dan tahu hati budi mereka sedikit sebanyak rasa sedih dan kerinduan pula nanti. Jadi saya berharap teruskan persahabatan itu, jangan hanya sekadar hubungan sewaktu saya bertugas di MBAS sahaja, tapi tentunya bila diluar MBAS hubungan tetap terjalin. Itu yang saya harapkan...
Melalui ruangan ini saya memohon keampunan dan kemaafan kepada semua anak-anak buah saya jika sepanjang masa saya bertugas di MBAS ada tindakan-tindakan saya, kata2 saya, arahan2 saya, perbuatan2 saya , tingkah laku saya dan perangai saya yang mungkin telah menyentuh hati dan perasaan yang tidak senang dengan saya ... hati yang terluka sukar juga untuk diubati.. tapi saya harap lama-lama dia akan baik juga.. saya harap begitu jua. Tidak ada niat langsung untuk berbuat sesuatu yang tidak wajar tanpa sebab yang munasabah. Saya memang amat mementingkan disiplin dan saya tak boleh tengok sebarang perbuatan tidak berdisiplin yang berlaku depan mata.. pasti saya akan tegor atau membuat surat-surat tunjuk sebab . Jadi dalam bab ini jangan marahkan saya kerana itu memang menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua untuk membetulkan balik mana-mana anggota yang jauh terpesong dari landasan yang sepatutnya.
Masa dok menulis ni macam-macam idea mai, tak apalah cukuplah setakat ini dulu..... nanti makin lama makin merapu pula jadinya.. tulispun ayat dah tak berapa nak betul.. pakai terus saja tanpa edit betul2.. Jadi elok saya permisi dulu ya... saya minta maaf juga dlm dok menulis mungkin ada juga kata2 yg menyebabkan rasa kurang senang dan terasa dihati. Minta maaf sekali lagi... saya akan terus menulis lagi jika ada kelapangan ... insya Allah...
SELAMAT TINGGAL SEMUANYA.... AL FATIHAH.. AAMIIN
sebelum mengundur mari kita layan lagu ni dulu....